Wednesday, 21 October 2015

Kek Pisang bersama Yogurt

Kek Pisang Bersama Yogurt

Bahan-bahan

1/2 cawan mentega dicairkan
3/4 cawan gula perang
1 1/2 cawan tepung gandum
2 biji telur
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
2 biji pisang saiz sederhana-potong bulat2
1/2 sudu teh esen vanila
1/2 cawan yogurt (perisa ikot suka)
Hirisan badam 

Cara
1. Panaskan oven pada suhu 170°C selama 15 minit. Sementara tu, kita sediakan adunan. Griskan dulang dan alas dengan baking paper.
2. Pukul gula perang bersama mentega yang telah dicairkan kemudian masukkan telur satu persatu. Pukul lagi.
3. Masukkan esen vanila dan pukul lagi. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul rata secara kaup balik. 
4. Masukkan hirisan pisang dan yogurt. Gaul lagi dan masukkan  ke dalam dulang pembakar. Taburkan hirisan badam di atasnya.
5. Bakar menggunakan api atas bawah pada suhu 170°C selama 1jam atau sehingga masak.
6. Potong apabila sudah sejuk.


Thursday, 15 October 2015

Survival Tips : Pulut Kuning Lembut


Assalamualaikum

2 Muharram 1437H, alhamdulillah sekali lagi berada di tahun baru. Apa azam baru tahun ni? Semoga kita sama2 dapat meningkatkan iman dan amal kita dalam mengharungi sisa kehidupan yang masih berbaki.

Awal pagi, teringat pula pulut kuning masakan mak. Makan bersama telur dadar, sedapnya. Sebenarnya saya tidaklah pandai memasak pulut. Opss.. ingat2 lupa masa tolong mak di dapur. Di rumah pun tiada pengukus tapi sebab dah teringin sangat nak makan haruslah diusahakan.

Mula2 basuh pulut sebersihnya. Kemudian pulut tadi masukkan ke dalam non sticky pan yang saya beli di Giant untuk buat crepe. Masukkan santan yang tidaklah terlalu cair, sekadar menutupi permukaan pulut. Tidak perlu banyak. Masukkan satu sudu teh garam dan satu sudu teh serbuk kunyit.

Masak pada api sederhana. Kacau sentiasa sehingga santan kering. Kemudian kecilkan api dan tutup pan dengan tutup periuk. Biarkan dalam 10 minit. Kemudian buka penutup dan kacau lagi agar tak berkerak. Jika pakai non sticky pan, inshaAllah tak berkerak.

Angkat pulut tadi dan kukus menggunakan rice cooker sehingga lembut. Makan bersama kari daging dan telur dadar. Sedapnya...

Friday, 2 October 2015

Kek Marble Susu ☆☆☆☆☆

Bismillah...

Takde apa nak dicelotehkan. Sekadar mencatat resepi kek marble susu yang sangat gebu ini agar tidak hilang inshaAllah...


Bahan2 kek marble susu

4 biji telur ( suhu bilik)
1 cawan marjerin (suhu bilik)
3/4 cawan gula kastor/ gula halus
2 cawan tepung kek ( saya guna blue key)
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu teh esen vanila
1/2 cawan susu pekat manis

Cara penyediaan;

1. Panaskan oven 15 minit menggunakan suhu 140°C atau mengikut suhu oven masing2 menggunakan api atas bawah.

2. Sapu pemukaan loyang pembakar dengan sedikit butter dan lapik dengan baking paper. Ketepikan.

3. Ayak tepung. Ketepikan.

4. Pukul gula bersama marjerin sehingga kembang. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi. Masukkan esen vanila bersama susu pekat manis dan pukul.

5. Masukkan tepung sikit demi sikit ke dalam adunan. Gaul menggunakan senduk atau spatula. Sekadar kaup balik.

7. Bahagikan adunan kepada 2bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan serbuk koko dan 1 bahagian lagi warna asal. Masukkan satu sudu adunan warna asal ke dalam loyang pembakar. Kemudian letakkan 1sudu adunan coklat ke atas adunan asal. Buat sehingga habis. Lorekkan adunan menggunakan lidi.

8. Bakar selama 40 minit mengunakan api atas bawah pada suhu 140°C atau ikot suhu oven masing. Letak dulang pembakar di tengah2 oven. Lepas 40 minit, cucuk lidi ke dalam kek secara senget. Jika takda tepung yang melekat pada lidi, inshaAllah kek sudah masak. Jika belum masak, tambah lagi 15 minit masa memasak dan begitu seterusnya.


9. Keluarkan kek dari loyang apabila sudah sejuk dan potong.

Laksa Penang : Menu kasih sayang ♡

Bismillah...
Assalamualaikum...

Menu apa petang ni. Saya masak laksa penang, menu harus ada setiap minggu sebab suami penggemar tegar laksa ni. Laksanya makan semangkuk sahaja, kuahnya dihirup bermangkuk-mangkuk :)



Resepi laksa penang saya adalah kurang pedas sebab anak3 pun nak makan sama.

Bahan bahan

6 ekor ikan selayang saiz sederhana
20 tangkai cili kering-buang biji dan rendam dengan air panas
1 biji bawang besar
Belacan sebesar ibu jari (jari tangan ye,bukan kaki :))- bakar sedikit
4 keping asam gelugor
Segenggam daun kesum
1 kuntum bunga kantan
1/2 kiub ikan bilis
Garam secukupnya
Air secukupnya
Laksa

Bahan untuk di letak di atasnya

Telur rebus
Hirisan cili
Hirisan timun
Limau kasturi
Hirisan bawang besar
Hirisan dedaunan lain yang sesuai

Cara penyediaan

1. Rebus laksa sehingga sehingga lembut dan tapis. Ketepikan.

2. Cuci ikan, buang kepala dan sisik keras di bahagian ekor. Takut termasuk dalam kuah laksa sebab sisik keras ni kecil. Kemudian rebus ikan. Tak perlu lama, cukup sekadar menggelegak. Sejukkan ikan.

3. Asingkan ikan dengan tulang.  Tulang dan air rebusan jangan dibuang.

4. Kisar cili kering, belacan dan bawang besar dengan sedikit air  sehingga hancur. Kemudian tuang ke dalam periuk. Masak pada api yang kecil.

5. Sementara tu, kisar isi ikan dengan sedikit air dan masukkan dalam periuk tadi. Saya suka isi ikan yang tak hancur, so saya kisar dalam 5 saat gitu.

6. Kisar tulang ikan menggunakan air rebusan tadi dan tapis. Saya tapis 2x. Kali pertama guna penapis yang jarang, kali kedua pakai penapis yang halus sikit. Masukkan air rebusan tulang yang  telah ditapis dan tambah air mengikut kepekatan yang sesuai.

7. Besarkan sikit api. Masak pada api sederhana. Masukkan daun kesum, bunga kantan yang telah di belah, kiub ikan bilis dan garam secukupnya. Masak sehingga menggelegak atau sehingga bunga kantan lembut.

Hidangkan bersama laksa yang telah direbus dan letak bahan2 hirisan di atasnya. Saya suka letak daun selom tapi agak sukar nak dapat kat kedai berdekatan rumah saya.


Thursday, 1 October 2015

Blueberry Cheese Tart : Dessert Mengembungkan Pipi

Bismillah...

Sebenarnya saya dah beberapa kali cuba resepi cheese tart ni. Seronok tengok tart yang cream cheesenya kembung2. Seronok nak kunyah. :) Makan masa dingin memang sedap tak ingat. Pipi pun makin kembung la ;)

Resepi ni saya ambil dari blog Azlita Masam Manis (lagi). Blog kak Ita memang menjadi rujukan saya setiap kali nak cuba resepi. Walaupun saya tak pernah pun berjumpa dengan kak Ita, tapi setiap kali saya baca blog kak Ita saya rasa senang bangat dengan penulisannya yang tidak kedekut ilmu dan humble itu. Lagi satu, saya suka hasil fotografi kak Ita. Alahai, bilalah nak mahir tangkap gambar ni. Camera Nikon dah naik bersawang dalam almari tu. Beli, lepas tu terus simpan sebab tak pandai guna. Hehehehe.



Untuk menghasilkan cheese tart, kita perlu sediakan tart shell atau crust. Crust ni tahan jika di simpan di dalam bekas kedap udara.

Bahan bahan untuk menyediakan crust atau tart shell

290 gram tepung gandum
170 gram butter
50 gram gula aising
1 biji telur gred C-kalau guna gred B buang sikit putihnya
1 sudu teh esen vanila
Acuan tart

Cara penyediaan crust

1. Pukul butter bersama gula aising sehingga sebati menggunakan senduk kayu. Tak perlu pukul sehingga kembang.
2. Masukkan telur dan esen vanila, kacau sebati.
3. Masukkan tepung gandum sikit demi sikit dan uli hingga jadi doh yang tak melekat di tangan.
4. Bulat2 kan adunan sebesar guli dan tekan2 di dalam acuan tart. Jangan nipis sangat. Potong lebihan doh menggunakan pisau. Cucuk dasar crust dengan garfu.
5. Panaskan oven pada suhu 170'C selama 15 minit menggunakan api atas dan bawah. Kemudian bakar crust selama 20-25 minit. Sejukkan crust sebelum diisi dengan filling.


Apabila crust sudah sejuk, boleh la di isi dengan filling kegemaran masing-masing. Cara mudah ianya dengan memasukkan filling ke dalam piping bag dan picit ke dalam crust. Filling ni kita boleh buat sendiri atau dapatkan di kedai menjual barangan bakery.



Kemudian kita sediakan pula adunan cream cheese.

Bahan2 yang diperlukan

250 gram cream cheese - keluarkan 30 minit sebelum guna. Jangan biarkan pada suhu bilik.
50 gram gula kastor atau gula halus
1 biji telur
1/2 sudu teh esen vanila atau esen lemon

Putar cream cheese bersama gula sehingga berkrim. Masukkan telur dan esen vanila dan pukul lagi.
Masukkan cream cheese ke dalam piping bag dan picit ke atas filling tadi sampai kembong. :). Tinggalkan cream cheese dalam 3 sudu bagi tujuan lorekan warna di atas tart.

Ambil 1 sudu cream cheese dan campur sedikit warna dan lorekan di atas tart. Saya suka bunga mekar setaman yang besar. Cara saya ialah titiskan cream cheese yang berwarna dan tarik menggunakan straw (pun boleh hehehe asal cantik dimata).


Bakar semula pada suhu 170'C selama 5 minit atau sehingga cream cheese tak melekat di tangan. Jangan terlalu lama kerana cream cheese akan kering dan pecah. Saya bakar di rak paling bawah tapi guna api atas bawah.

Nota; kerja membuat crust lebih mudah jika menggunakan tart presser (gambar dari google). Ada yang single press and multi. Tak delah lenguh sangat jari jemari nak tekan2 doh kan. Dan bentuk crust pun lebih seragam dan kemas.




Wednesday, 30 September 2015

Kek Oren My Childhood Cake..!!

Bismillah...

Malam tadi teringin pula nak makan kek oren. Kek zaman kecik2 dulu :D. Teringat zaman kecik2 dulu, kaklong memang suka masak. Serba serbi pandai masak. Sampai sekarang pun kalau buat kek, selamber je dia tak tengok resepi ;) Yang kita ni entah berapa kali belek resepi sebab tak ingat-ingat.

Resepi kek oren ni pun ambil dari long. Terima kasih banyak2. Sedap. Tepek kat sini, supaya boleh jadi rujukan masa depan.



Bahan2 kek oren

5 biji telur ( suhu bilik)
1 ketul butter (250 gram) keluarkan dari peti ais 30 minit sebelum guna
1 cawan gula kastor
2 1/2 cawan tepung kek ( saya guna blue key)
2 sudu besar sunquick oren
1 sudu teh baking powder

Cara penyediaan kek oren;

1. Panaskan oven 15 minit menggunakan suhu 140'C atau mengikut suhu oven masing2 menggunakan api atas bawah.

2. Sapu pemukaan loyang pembakar dengan sedikit butter dan lapik dengan baking paper. Ketepikan.

3. Ayak tepung bersama baking powder. Ketepikan.

4. Asingkan telur putih dan kuning. Pukul telur putih sehingga ringan dan bertanduk.

5. Di dalam belas lain, pukul gula bersama mentega sehingga kembang. Masukkan telur kuning satu persatu dan pukul lagi. Masukkan sunquick oren dan pukul.

6. Masukkan tepung sikit demi sikit ke dalam adunan. Gaul menggunakan senduk atau spatula. Sekadar kaup balik.

7. Masukkan putih yang telah di pukul tadi dan gaul rata. Masukkan adunan ke dalam loyang pembakar.

8. Bakar selama 40 minit mengunakan api atas bawah pada suhu 140'C atau ikot suhu oven masing. Letak dulang pembakar di tengah2 oven. Lepas 40 minit, cucuk lidi ke dalam kek secara senget. Jika takda tepung yang melekat pada lidi, inshaAllah kek sudah masak. Jika belum masak, tambah lagi 15 minit masa memasak dan begitu seterusnya.

9. Keluarkan kek dari loyang apabila sudah sejuk. Potong dan makan bersama anak3 sambil mengimbas kenangan zaman kanak2. :)

Sunday, 27 September 2015

Japanese Crispy Cream Puff

Bismillah.. :)



Sedapnya Japanese Crispy Cream Puff (JCCP), resepi dari Puan Tahrunnisah Jali. Terima kasih Puan. Keluar saja dari oven, belum sempat nak piping cream custard tengok-tengok anak dah makan. Krup krap krup krap...memang sedap. InshaAllah.

Untuk menyediakan JCCP ini, terlebih dahulu kita kena sediakan craquelin atau toppingnya. Yang ni akan memberikan rasa rangup pada JCCP kita nanti.

Bahan bahan untuk Craquelin

50 gram butter
50 gram brown sugar
60 gram tepung gandum di ayak

Cara penyediaan Craquelin

# Campurkan butter bersama brown sugar dan kacau sebati. Kemudian masukkan tepung gandum. Gaul sebati menggunakan senduk kayu. Nipiskan adunan seperti di dalam gambar dan wrap menggunakan plastik. Masukkan ke dalam peti ais selama 30 minit supaya adunan menjadi agak keras.


Sementara itu, kita sediakan filling untuk cream puff kita. Filling ni dapat banyak, so saya kurangkan 1/2 sukatan dari resepi asal.

Bahan bahan untuk filling

1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
4 sudu besar gula
240 ml susu segar
1 biji telur
1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar mentega
Sedikit warna kuning

Cara penyediaan filling

# Masukkan tepung gandum, tepung jagung dan gula ke dalam periuk bersama 5 sudu besar susu segar. Kacau sebati sehingga tiada yang berketul.

# Masukkan telur dan kacau lagi. Kemudian masukkan baki susu, esen vanila dan pewarna kuning dan kacau.

# Masak adunan menggunakan api sederhana dan kacau sentiasa supaya tidak berkerak. Masak sehingga likat dan berkilat. Tutup api, kemudian masukkan mentega. Kacau sehingga mentega cair. Sejukkan filling sebelum di masukkan ke dalam piping bag.



Setelah siap filling, kita perlu siapkan puff nya pula. Part ni saya suka sebab suka tengok puff naik berganda dan ada lubang di tengah - tengah. Kejap kejap jenguk dalam oven nak tengok puff naik banyak mana :D

Bahan bahan untuk Choux Pastry (Puff)

130 ml susu segar
130ml air
130 gram butter
1 sudu besar gula
Secubit garam
5 biji telur
165 tepung gandum
1 sudu kecil baking powder

Cara penyediaan

# Ayak tepung gandum bersama baking powder.

# Panaskan susu segar, air dan butter di dalam periuk menggunakan api sederhana sehingga mendidih kemudian perlahankan api.

# Masukkan tepung dan baking powder yang telah di ayak. Kacau adunan sehingga adunan tidak melekat pada periuk. Gunakan api sederhana. Masak sehingga semuanya sekata dan tutup api. Sejukkan adunan ini.

# Di dalam bekas lain yang bersih, pukul telur menggunakan hand mixer. Kemudian masukkan telur sedikit demi sedikit ke dalam adunan tepung dan pukul sebati.

# Masukkan adunan ke dalam piping bag yang telah di letakkan nozzle bentuk bintang. Piping di atas dulang pembakar yang telah dilapikkan dengan baking paper dan di oles dengan mentega.

# Kemudian keluarkan craquelin (topping) dari peti ais. Tekap adunan craquelin menggunakan acuan bulat atau penutup botol saiz sama besar dgn saiz adunan puff untuk kita tutup permukaan puff nanti. Letak craquelin atas puff tadi (gambar). Cara lain bulatkan kecil dan leper nipis menggunakan jari je dan letakkan di atas puff.

# Panaskan oven selama 15 minit pada suhu 180'C. Kemudiaan bakar puff selama 30 minit menggunakan suhu 180 'C menggunakan api atas bawah sehingga permukaan puff menjadi keperangan. Dulang pembakar perlu diletakkan di tengah tengah supaya puff masak sekata.

# Pastikan puff telah benar-benar masak sebelum dikeluarkan dari oven.Ia kelihatan ringan,bahagian bawahnya tidak melekat di dulang dan telah berwarna kuning kecoklatan sedikit. Jika dikeluarkan sebelum cukup masak, puff akan turun dan tidak berongga di dalamnya. jangan bukak oven sebelum tamat tempoh ye. Kalau tak puff akan turun.

# Gunting sedikit puff dan piping filling kedalam. Siap untuk dimakan :)

Nozzle ni saya beli di Mr. DIY :). Untuk filling tak perlukan nozzle.

#aakh. Oven  dulu,          sahaja  filling   p




Wednesday, 23 September 2015

Kek Sarang Semut

Bismillah...
Assalamualaikum...

Kek sarang semut atau pun kek gula hangus ni, memang kek yang saya gemari sejak zaman kanak-kanak. Seronok bila makan tu nampak lubang- lubang macam sarang semut tu kan. :)

Namun, bila mencuba untuk buat sendiri kek ni, bukan mudah rupanya nak menghasilkan kejadian sarang yang cantik. Bukan sekali dua mencuba, bukan setitis dua airmata yang tumpah. Ececeh...

Alhamdulillah, setelah beberapa kali mencuba akhirnya semut sudi jua bersarang di dalam kek saya ;)


InshaAllah, di sini resepi yang saya rasa boleh menghasilkan sarang yang cantik. Mohon maaf di atas kekurangan dalam resepi ini.

Bahan bahan kek sarang semut saya

1 cawan gula pasir
1 cawan air panas
1 cawan tepung gandum
2 sudu kecil soda bikarbonat
4 biji telur
2 sudu besar butter
1 sudu teh esen vanilla
1/4 cawan susu pekat manis

Cara-cara

# Sediakan larutan karamel terlebih dahulu.

# Panaskan kuali pada api sederhana. Masukkan gula pasir dan biarkan ianya mencair. Kacau menggunakan senduk kayu sehingga gula menjadi warna keperangan. Kacau hingga gula larut sepenuhnya. Saya suka karamel yang agak gelap warnanya. ;)

# Masukkan air panas dan kacau lagi. Hati- hati ketika mencurah air panas kerana gula akan meletup- letup. Kacau sehingga gula larut.

#Masukkan butter dan kacau lagi. Tutup api apabila butter sudah cair sepenuhnya. Sejukkan karamel.

# Ayak tepung bersama soda bikarbonat. Ketepikan.

# Di dalam bekas lain yang bersih, pecahkan telur dan pukul menggunakan senduk kayu. Tak perlu pakai mixer. Pukul sekadar telur sebati.

# Masukkan susu pekat manis dan kacau lagi. Masukkan esen vanila dan kacau lagi.

# Masukkan tepung yang telah di ayak bersama soda bikarbonat sedikit demi sedikit di dalam adunan tadi. Kacau lagi. 

# Masukkan air gula hangus yang telah sejuk. Putar adunan menggunakan hand mixer dalam 2 minit. 

# Tapis adunan ke dalam loyang pembakar size 7 x 7 yang telah di oles dengan mentega dan dilapik dengan baking paper. 

# Perap adunan dalam 3 jam sebelum dibakar.

# Selepas 3jam, panaskan oven pada suhu 150'C selama 15minit menggunakan api bawah sahaja. Suhu bergantung kepada oven masing- masing.

# Bakar adunan menggunakan api bawah pada suhu 150'C selama 30 minit, kemudian bakar menggunakan api atas bawah selama 45 minit pada suhu 150'C.

# Inshaaallah..kejadian sarang semut indah dan comel.;) Potong kek apabila sejuk. 





Roti Jala yang Lembut

Bismillah..

Resepi roti jala inshaaallah lembut walaupun telah lama dimasak.


Roti Jala
3 cawan tepung gandum
3 1/2 cawan air
2 biji telur
Secubit garam
Beberapa titis pewarna kuning telur
1/2 cawan minyak masak
1 sudu teh esen vanila

# Blend semua bahan hingga sebati dan tapis. Kemudian masukkan ke dalam botol acuan roti jala.
# Panaskan kuali leper (non stick) menggunakan api sederhana. Terpulang sama ada nak sapu sedikit minyak pada permukaan kuali atau tak. Saya tak sapu.
# Bila kuali cukup panas, bolehla menjala 
Angkat apabila permukaan atas dah kering.
Lipat kiri dan kanan, kemudian gulung.

Ok dah siap jala kita.

Resepi kari daging tak dapat nak share sebab tadi masak takde sukatan tertentu.


Congo Bar Saya :)

Bismillah...
Assalamu alaikum...

Congo bar saya, satu lagi resepi tetinggal keretapi dari saya. Orang lain dah lama cuba, saya baru nak perasapkan oven. Tapi tak palah kan..omputeh kata better late than never. Ececeh...

Sebelum tu, saya nak mohon maaf jika terdapat kekurangan dalam perkongsian resepi. Saya budak baru belajar. Resepi yang telah saya cuba dan menjadi, saya ingin kongsi di blog ini. Yang tak jadi, kita diam-diam je k ;)
Sekurang - kurangnya boleh menjadi rujukan untuk diri sendiri di masa hadapan. Orang kata, ilmu jika tidak dicatat ianya akan hilang.


Resepi congo bar ni saya ambil dari blog kak Azlita Masam Manis. Terima kasih tuan tanah. Cuma saya ada ubah sedikit mengikut bahan -bahan yang available di dapur saya.

Bahan - bahan untuk Congo Bar saya;

315 gram tepung gandum
2 1/2 sudu kecil baking powder
Secubit garam
150 gram butter
220 gram gula perang
3 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
50 gram chocolate rice
50 gram badam cincang ~ panggang sekejap
Hirisan badam untuk ditabur di atas congo bar

Cara penyediaan congo bar saya;

# Panaskan oven pada suhu 150 ' C selama 15 minit menggunakan api atas bawah. Suhu ini bergantung pada oven masing -masing. Oven saya kecil comel sahaja, dan agak lama. 

# Ayak tepung bersama baking powder dan garam. Jangan skip arrr step ni. :) Kena ayak bersama supaya semuanya bercampur sama rata, dan dapat menyingkirkan bahan- bahan kasar dalam tepung.

# Pukul butter bersama gula perang sehingga sebati menggunakan senduk kayu. Saya gunakan lebih kurang 200 gram soft brown sugar, selebihnya yang biasa sebab tak cukup. Alahai... :)



# Apabila sudah sebati, masukkan telur satu persatu dan kacau lagi. Telur tak perlu kembang, cukup sekadar tergaul sama rata.


# Masukkan esen vanilla dan kacau. Kemudian masukkan tepung yang telah di ayak sedikit demi sedikit ke dalam adunan dan kacau lagi.

# Masukkan badam cincang dan chocolate rice dan gaul sebati. Adunan akan menjadi agak likat, dan tenaga tambahan diperlukan untuk menggaul. :)


# Masukkan adunan ke dalam loyang pembakar yang telah di oles dengan mentega dan di lapik dengan baking paper. Untuk adunan ini, saya bakar di dalam 2 loyang bersize 7 x 7 dan ketebalannya pada saya adalah just nice.


# Taburkan hirisan badam. Lagi banyak, lagi sedap :).


#Letakkan dulang di tengah- tengah oven. Bakar pada suhu 150 'C (oven saya) menggunakan api atas bawah selama 30 minit atau sehingga permukaannya keperangan. Jangan terlebih masak.


#Potong apabila sudah sejuk.


Rasanya sedikit crunchy di luar, lembut di dalam. Ianya bukan kek, dan bukan juga biskut. Ianya congo bar. :)

Untuk sukatan gula, saya telah kurangkan dari resepi asal iaitu 320gram. Badam juga boleh digantikan dengan kekacang lain dan boleh letak lebih. Bergantung pada cita rasa masing - masing. Chocolate rice boleh digantikan dengan semi sweet chocolate chip bagi mendapatkan congo bar yang tak manis sangat. InshaAllah.

Pisang Bolen

Bismillah...

Pisang bolen merupakan dessert yang terkenal di Bandung. Ianya antara salah satu ole-ole yang akan dibawa pulang apabila berkunjung ke Bandung. Erm..terkenang pula kenangan manis ketika berkunjung ke sana suatu masa dahulu. Saya rindukan udaranya yang nyaman, tempatnya yang menarik, penduduknya yang sopan dan ramah serta tempat membeli belah yang bisa menggugat nafsu membeli :)


Resepi pisang bolen ni saya jumpa di u tube.Linknya di sini. Saya ada olah sedikit resepinya agar tidak terlalu berminyak.

Bahan bahan yang diperlukan adalah;

Instant puff pastry
5 biji pisang raja
Butter ~potong bentuk blok memanjang
Cheddar cheese ~ potong memanjang
Coklat rice ~ optional
Gula
Sedikit kuning telur ~ untuk hiasan
Parutan keju ~ untuk hiasan

Cara penyediaan

# Panaskan oven pada suhu 150 'C selama 15 minit.

# Kukus pisang bersama kulit sehingga masak. Jangan kukus terlalu lama, nanti pisang akan lembik.

#Tunggu sehingga pisang sejuk dan buang kulitnya. Potong pisang 2 bahagian.

#Keluarkan instant puff pastry dari peti ais dan canai sedikit menggunakan kayu penggelek.
Saya gunakan instant puff pastry jenama Kawan, seperti gambar (dari google). Saya beli di Giant :).


# Taburkan gula di atas pastry.

# Ambil pisang yang telah di potong tadi, kemudian belah di tengah- tengah. Susun di atas pastry.

# Susun butter dan cheddar cheese di antara kepingan pisang.

# Taburkan gula dan chocolate rice di atas nya. Di dalam video menggunakan susu pekat manis. Tapi saya gantikan dengan gula untuk mengurangkan kesan berminyak :D

# Tutup pastry seperti melipat sampul surat dan susun di atas dulang pembakar yang telah dioles dengan sedikit butter. Jarakkan sesikit kedudukan antara satu sama lain kerana puff akan mengembang berganda ganda :). Sapukan kuning telur dan taburkan sedikit parutan keju.



# Bakar selama 30 minit atau sehingga kuning keemasan pada api 150' C.

Makan sambil fefeeling berada di Bandung ;)









Monday, 21 September 2015

Durian Crepe With Nyummy Custard Cream

Bismillah...

Rasanya demam durian crepe dah lama kebah, sedangkan saya baru nak kongsi resepi :) . Tapi takpe kan, mungkin untuk rujukan di masa akan datang.

Resepi durian crepe bersama custard cream sebagai filling ni memang sedap pada saya, sebab tak muak kalau makan banyak berbanding jika fillingnya hanya durian dan whipping cream. Hehehe, target nak makan banyak je ye. Tapi selera orang lain-lain kan.


Resepi untuk crepe ni saya ambil dari blog masam manis, manakala untuk filling saya rujuk resepi dari FB Puan Tahrunnisah Jali. Terima kasih tuan tanah, Kak Ita dan Puan Tahrunnisah yang sentiasa humble dan suka kongsi tips.

Untuk menyediakan durian crepe ini kita perlu sediakan crepe atau kulit dan fillingnya. Filling perlu disediakan terlebih dahulu dan disejukkan.

Bahan untuk Cream Custard Filling

2 sudu besar gula
20 gram tepung kastard
250 susu segar atau susu cair
2 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanilla ( yang ini saya tambah)
1 cawan non dairy whipping cream
Isi durian yang telah dilecek secukupnya

Cara penyediaan

Ambil periuk bersih, masukkan tepung kastard, gula, kuning telur, esen vanilla dan 5 sudu besar susu segar. Kacau sehingga semuanya sebati dan tidak berketul-ketul. Selepas semua sebati, masukkan semua baki susu dan kacau lagi.

Buka api sederhana dan masak adunan. Kacau sentiasa supaya tidak berkerak. Tutup api apabila aduanan sedikit meletup-letup. Sejukkan adunan di dalam bekas bertutup dan simpan di dalam peti ais.

Ambil 1 cawan non dairy whipping cream dan pukul hingga kental.
Gaul bersama cream custard yang telah dingin beserta isi durian. Gaul menggunakan kaedah kaup balik. Kemudian simpan di dalam peti ais sementara kita menyediakan crepe.

Bahan untuk crepe

40 gram tepung gandum
40 gram tepung ubi
20 gram tepung kastard
20 gram tepung jagung
1 sudu besar minyak masak
1 biji telur
130ml susu segar
50 ml air bergantung kepada kepekatan
1 sudu besar gula halus
Secubit garam
Sedikit pewarna kuning

Cara penyediaan

Satukan semua tepung dan ayak.
Masukkan bahan- bahan lain dan kacau sehingga sebati. Tapis adunan.

Ambil non stick pan bersaiz 24cm atau lebih kecil, panaskan di atas api sederhana. Saya guna non sticky pan size 24cm, beli di Giant dengan harga lebih kurang RM10.00 ;)

Bila kuali sudah cukup panas, oleskan dengan sedikit minyak menggunakan tisu dapur. Saya tak oles pun, alhamdulillah memang tak melekat.

Angkat sedikit kuali dari api dan masukkan adunan dalam anggaran 1 senduk kecil dan layangkan agar adunan memenuhi permukaan pan kita. Dapatkan crepe senipis yang mungkin. Letak semula kuali di atas api dan angkat crepe bila permukaannya sedikit menggelembung. Crepe tak perlu diterbalikkan. Hanya perlu masak pada 1 permukaan sahaja. Crepe boleh ditindih ketika panas, inshaAllah tak melekat. :)

Masak sehingga habis adunan tadi.

Cara membantalkan crepe.

Ambil sekeping crepe, dengan permukaan yang licin berada di bahagian bawah.
Sudukan cream custard tadi di tengah-tengah crepe dan lipat seperti bantal.

Buat sampai habis dan simpan sebentar durian crepe kita di dalam peti ais kerana ianya sedap bangat di makan ketika dingin.

© Kimidori Sugar
Maira Gall